Pada tahun 90-an, tidak ramai pelajar yang mendapat pendedahan mengenai bidang geologi yang kajian utamanya membabitkan batuan, apatah lagi pelajar wanita menyebabkan mereka yang memilih menyambung pengajian dalam jurusan berkenaan akan digelar ‘wanita batu’.

Bagaimanapun, bidang berkenaan semakin berkembang dan kini tidak lagi dipelopori oleh golongan lelaki sahaja dengan bidang kerjaya itu mampu menjanjikan pendapatan lumayan terutama yang mengkhusus dalam sektor geologi petroleum. 

Pengarah Institut Infrastruktur Tenaga (IEI) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof Madya Dr Rohayu Che Omar, P. Geol, berkata skop pengajian dan kerjaya dalam bidang geologi pada hari ini sudah meluas membabitkan tiga sektor utama iaitu kejuruteraan geologi, geologi petroleum dan geologi persekitaran.

Katanya, bidang geologi berkait rapat dengan bumi dan alam sekitar termasuk kejadian alam, sifat bumi, bahan bumi (galian dan mineral) dan proses pembentukan bumi serta manfaat dan kesannya kepada manusia.

Meramal bencana

“Jika seseorang graduan itu memilih untuk bekerja dalam sektor kejuruteraan geologi, mereka mungkin diberikan tanggungjawab untuk membuat kajian mengenai keadaan struktur tanah untuk satu kawasan pembinaan bagi memastikan kesesuaian, ketahanan atau keselamatan bangunan yang akan dibina di atas tanah berkenaan.

“Kebiasaannya, ahli geologi dalam sektor ini akan bekerjasama dengan jurutera daripada syarikat pembinaan atau boleh juga bekerja dengan syarikat perancang bandar atau agensi pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini. 

Selain kejuruteraan, ramai graduan berminat untuk menyertai sektor petroleum manakala sektor geologi persekitaran pula membolehkan ahli geologi meramal kejadian bencana berdasarkan kajian terhadap struktur batuan di sesuatu tempat seperti tanah runtuh, banjir, tsunami, gempa, letusan gunung berapi dan perubahan aras laut. 

Dr Rohayu berkata, cabaran bekerja dalam bidang berkenaan adalah memerlukan seseorang yang mempunyai ketahanan fizikal kerana mereka perlu turun padang untuk menjalankan kajian, pemetaan serta mengumpul data bagi tujuan penyelidikan, dokumentasi dan mencari jalan penyelesaian kepada kejadian sesuatu bencana.

Bidang profesional

“Kalau di universiti, pelajar geologi terpaksa belajar dalam keadaan berpanas berhari-hari, malah mungkin berminggu-minggu untuk mengumpul data mengenai batuan atau tanah menyebabkan mereka yang tidak tahan membuat keputusan berhenti atau bertukar jurusan. 

“Dalam dunia kerjaya, cabaran yang dihadapi juga tidak kurang hebatnya kerana perkara sama berlaku apabila ahli geologi perlu melihat tapak pembinaan kuari, lombong atau bangunan, tanah runtuh dan banjir,” katanya.

Pada tahun 2015, geologi diiktiraf sebagai bidang profesional di negara ini dengan pengamalnya perlu memiliki lesen profesional manakala individu yang tidak memiliki kelulusan dalam bidang itu tetapi banyak terbabit dalam bidang berkaitan geologi boleh memohon untuk diiktiraf sebagai pengamal geologi berdaftar.

“Melalui pengiktirafan ini, ahli geologi boleh meletakkan gelaran P Geol di belakang nama masing-masing seperti jurutera yang mempunyai Ir di depan nama mereka. Bagi mendapatkan lesen sebagai ahli geologi profesional, individu perlu mempunyai pengalaman bekerja lebih daripada lima tahun dan menduduki peperiksaan yang ditetapkan oleh Lembaga Ahli Geologi Malaysia,” katanya.