KUALA LUMPUR 24 Jun - Rang Undang- undang Geologi 2008, yang bertujuan menubuhkan sebuah lembaga untuk mendaftar ahli geologi tempatan serta mengawal selia profesion ahli geologi di negara ini, adalah untuk memastikan hanya ahli geologi berkelayakan mengesahkan sesuatu laporan geologi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, rang undang undang itu akan dapat memastikan hanya individu yang berkelayakan dan berpengalaman dibenar untuk memberi tafsiran dan ulasan yang kritikal berhubung perkara geologi.

"Ketiadaan satu akta untuk mengawal selia profesion ahli geologi di Malaysia buat masa ini menyukarkan pihak tertentu untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab bagi kerja-kerja geologi termasuk untuk menyedia dan menandatangani sesuatu laporan geologi.

"Keadaan ini boleh menyebabkan orang yang tidak berkelayakkan dalam bidang ini memberi perkhidmatan dan melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dibuat oleh ahli geologi profesional," katanya semasa membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja geologi oleh seseorang yang tidak berkelayakan dan tidak berdaftar boleh membawa kesan negatif terhadap sumber dan ekonomi negara serta menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan kerosakan kepada harta benda mereka.

Uggah berkata lembaga ahli geologi yang akan ditubuhkan itu turut berfungsi untuk mendengar dan menentukan pertikaian berhubung etika dan kelakuan profesional profesion geologi.

"Lembaga ini juga boleh memeriksa dan jika difikirkan perlu membuat laporan tentang apa-apa perkara yang dikemukakan dan membuat syor kepada kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkaitan selain menimbang dan mengesyorkan pembaharuan kepada undang-undang yang berhubung dengan geologi," katanya.

Beliau berkata keanggotaan lembaga ahli geologi akan dilantik oleh menteri, dan terdiri daripada seorang pengerusi, seorang wakil Institut Geologi Malaysia, lima orang ahli geologi profesional berdaftar dalam perkhidmatan awam, lima orang ahli geologi profesional berdaftar yang menjalankan amalan persendirian atau dalam pengajian selain daripada perkhidmatan awam dan dua orang pada pendapat menteri yang dapat menyumbang kepada profesion geologi.